


SEORANG wanita dan tiga orang anaknya yang dikurung dalam sebuah bilik bawah tanah yang tidak bertingkap selama 24 tahun kini diasingkan daripada dunia luar yang tidak pernah mereka ketahui buat sementara waktu sebagai sebahagian daripada proses pemulihan.
Wanita tersebut yang kini berumur 42 tahun, Elisabeth Fritzl dikurung dan dirogol oleh bapanya sendiri, Josef Fritzl di kediaman mereka di Amstetten, Austria sehingga melahirkan tujuh anak.
Bagaimanapun, seorang daripada anaknya itu meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan dan dipercayai dibakar oleh Josef, 73.
Tiga lagi anak mangsa pula dikurung bersamanya di dalam bilik kurungan itu yang sempit dan mereka tidak pernah melihat cahaya matahari.
 
Namun, nasib tiga lagi anaknya itu lebih baik apabila diambil sebagai anak angkat oleh Josef dan tinggal bersama isterinya, Rosemarie di kediaman mereka.
Beberapa ujian DNA yang dijalankan oleh pihak polis juga mengesahkan lelaki itu yang juga bekas jurutera elektrik adalah bapa kepada keenam-enam anak mangsa yang berumur 5 hingga 19 tahun.
Elisabeth dan anak-anaknya kini ditempatkan di Hospital Mostviertel, Amstetten bagi menjalani rawatan psikologi oleh beberapa pakar.
Selama 24 tahun, Josef menipu isterinya dan pihak berkuasa dengan mendakwa Elisabeth yang ketika itu berumur 18 tahun melarikan diri dari rumah untuk mengikut satu kumpulan ajaran sesat pada 1984.
Pakar psikologi kanak-kanak dan remaja, Paulus Hochgatterer berkata, Elisabeth serta tiga anaknya kini diletakkan dalam satu bilik rawatan khas yang boleh dikunci dari dalam bagi melindungi mereka daripada dunia luar.
Ketua agensi perkhidmatan sosial Amstetten, Hans-Heinz Lenze berkata, Elisabeth dan anak-anaknya akan menjalani rawatan selama beberapa minggu bagi membolehkan mereka membiasakan diri dengan dunia luar.
"Mangsa dan anak-anaknya secara beransur-ansur didedahkan ke dunia luar dan mereka kini menyesuaikan dengan baik," katanya.
Menurutnya, doktor akan menentukan bila pihak polis dibenarkan untuk menyoal siasat mereka dan itu mungkin akan berlaku dalam tempoh beberapa hari lagi.
 
IMEJ ini menunjukkan sebuah bilik tidur di bilik bawah tanah kediaman Josef di Amstetten, Austria.
 
Pihak berkuasa juga sedang mencari sekolah khas untuk tiga anak Elisabeth yang sejak dilahirkan tinggal di dalam bilik bawah tanah dan juga tiga anaknya lagi yang dijadikan anak angkat oleh Josef.
Lense berkata, pihak berkuasa juga mencadangkan supaya Elisabeth dan enam anaknya yang kini sudah dewasa menukar nama mereka.
"Nama Fritzl telah tercemar dan keluarga itu mesti memutuskan berhubung masa depan mereka," katanya.
Kisah yang mengejutkan Austria itu berlaku dua tahun selepas satu kes yang hampir sama melibatkan seorang gadis, Natascha Kampusch menggemparkan negara itu.
Kampusch yang kini berumur 20 tahun diculik dan dikurung ketika berumur 10 tahun selama lapan tahun oleh seorang lelaki, Wolfgang Priklopil sehingga dia berjaya melarikan diri pada Ogos 2006.
Namun, tidak seperti Kampusch, tiga anak Elisabeth tidak pernah mengenal dunia luar kecuali melalui sebuah televisyen dan radio yang diletakkan oleh Josef di bilik kurungan itu.
"Keadaan itu mengakibatkan pengembangan mental dan kognitif kanak-kanak itu menjadi lemah," kata Hochgatterer.
Pakar psikoterapi, Rotraud Perner berkata, beliau yakin anak-anak mangsa akan bertindak balas dengan baik terhadap rawatan yang dijalankan.
Sementara itu, menurut polis, Josef akan disoal siasat untuk beberapa hari lagi dan jika dia dapati bersalah oleh mahkamah lelaki itu mungkin menghadapi hukuman penjara 15 tahun kerana merogol serta mengurung. 
Para penyiasat juga menyiarkan gambar Josef kelmarin dan berharap saksi yang melihat suspek membeli makanan dan pakaian termasuk kain lampin supaya tampil memberi keterangan. 
Pihak polis juga memeriksa beberapa hartanah milik Josef bagi memastikan tiada lagi bilik kurungan atau mangsa yang ditahan oleh lelaki itu. - Agensi
30 April 2008
Proses pemulihan Elisabeth- Inilah yang dikatakan haruan makan anak!!!
Posted by NIVYANFAZZA at 4:10 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 

0 comments:
Post a Comment