

Kemampuan beberapa sawah di Sekinchan, Selangor yang berjaya menghasilkan 13 tan metrik padi sehektar menjadi bukti infrastruktur yang baik mampu meningkatkan hasil pengeluaran sumber itu.
KEBANYAKAN beras untuk keperluan negara diimport dari Thailand dan Vietnam.
 
KAWASAN jelapang padi negara mampu mengeluarkan 10 tan metrik padi sehektar jika kemudahan infrastruktur dipertingkatkan yang disertai dengan sistem pengairan yang baik, kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Datuk Dr. Abdul Shukor Abd Rahman.
Mengambil contoh sawah padi di Sekinchan, Selangor yang berjaya menghasilkan 13 tan metrik padi sehektar, beliau berkata, kawasan itu mempunyai sistem pengairan yang baik dan baja yang bermutu tinggi.
"Kebanyakan sawah kita penggunaan inputnya optimum. Jadi, kemudahan infrastruktur perlu dipertingkatkan. Peralatan tanah juga penting untuk mengawal saliran air dengan baik. Kalau ikut (cara itu), semua boleh dihasilkan. Boleh keluarkan lebih banyak daripada Sekinchan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas punca kawasan jelapang padi negara gagal menghasilkan 10 tan metrik padi sehektar untuk menampung keperluan negara.
Malaysia ketika ini hanya mampu mengeluarkan kira-kira 75 peratus daripada keperluan beras negara dengan lebih 600,000 metrik tan beras perlu diimport.
Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Datuk Seri Annuar Musa menyarankan penanam padi mengubah kaedah penanaman padi konvensional yang diamalkan sekarang kepada cara yang lebih moden untuk meningkatkan hasil bagi membantu meningkatkan bekalan beras negara.
Annuar juga berkata, kebanyakan petani masih bergantung kepada baja dan racun subsidi serta masih menggunakan tali air yang dibina sejak 40 tahun lalu, menyebabkan hanya empat atau enam metrik tan padi sehektar mampu dikeluarkan.
Mengulas perkara itu, Dr. Abdul Shukor berkata, penggunaan teknologi baru untuk para pesawah perlu diperluaskan dan ia perlu dipantau oleh agensi-agensi yang terlibat.
Beliau menolak anggapan bahawa sikap tidak bersungguh-sungguh pesawah sebagai punca kegagalan mereka tidak mencapai sasaran keluaran hasil padi negara.
KEBANYAKAN pesawah tempatan kini menggunakan combine harvester untuk menuai padi. 
"Saya rasa cara manual dalam penanaman padi semakin berkurangan. Di sesetengah kawasan kecil, memang ada pesawah yang tidak menggunakan mesin sepenuhnya. Tetapi kini kebanyakan pesawah menggunakan combine harvester untuk menuai padi," jelasnya.
Mengenai peranan Mardi, Dr. Abdul Shukor berkata, agensi itu mengeluarkan 200 tan benih asas padi setahun untuk dibekalkan kepada Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan agensi-agensi berkaitan bagi menghasilkan benih sah sebelum diagihkan kepada petani.
Selain membekalkan benih asas yang bermutu tinggi, Mardi juga memperkenalkan kaedah pengurusan yang lebih tersusun seperti penggunaan baja yang sesuai dan menghasilkan jenis padi yang mampu menghasilkan lapan hingga 10 tan padi sehektar.
Mardi juga sentiasa mengeluarkan padi baru yang berbagai seperti MR219 yang digunakan kira-kira 70 peratus petani, manakala 30 peratus petani menggunakan jenis MR220 dan MR232. 
Mengenai perubahan cuaca yang turut dikatakan punca sasaran meningkatkan pengeluaran beras negara daripada 70 peratus kepada 90 peratus tidak tercapai sepenuhnya, beliau berkata, sejak lima tahun lalu, Mardi memperkenalkan kaedah penanaman padi aerobik (aerobic rice) yang menjimatkan penggunaan air yang kini digunakan di Jeli, Kelantan dan Seberang Perai, Pulau Pinang.
Dr. Abdul Shukor juga berkata, Mardi bekerjasama dengan International Rice Research Institute di Filipina untuk menghasilkan jenis padi yang tahan cuaca panas. - Bernama
04 May 2008
Punca beras diimport
Posted by NIVYANFAZZA at 5:26 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 

0 comments:
Post a Comment